Saturday, September 17, 2011

Parti Liar Siswa-Siswi ?


Parti Liar Siswa-Siswi : Jemputan kenduri Dadah, seks melalui facebook, SMS

ALOR GAJAH: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dari Selangor serta negeri ini antara 87 ditahan ketika menyertai parti liar membabitkan pengambilan dadah di sebuah banglo dua tingkat di sebuah resort di sini, yang disewa kononnya bagi meraikan sambutan Hari Malaysia, malam kelmarin.

Difahamkan ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri diketuai Inspektor Risikan Operasi dan Tahanan JSJN negeri, Cif Inspektor Mohd Hisham A Rahman menyerbu banglo terbabit kira-kira jam 2.30 pagi, ramai peserta pesta itu berhibur dalam keadaan khayal.

Menurut sumber, dalam serbuan itu, polis menahan 87 orang termasuk 17 perempuan dan sebahagian daripada mereka pelajar IPT awam dan swasta berusia 18 hingga 35 tahun.



Katanya, ketika serbuan, ada antara mereka berada di kawasan kolam renang dan ruang tamu, manakala sebahagian lagi dalam tiga bilik di tingkat atas dan lebih mengejutkan ada peserta tidur berpelukan tanpa menyedari kehadiran polis.

Penyertaan untuk pesta ‘private party’ itu dikatakan percuma, tetapi jemputan melalui laman sosial, facebook dan SMS daripada kenalan masing-masing. Malah, ada antara peserta tidak mengenali antara satu sama lain.

Harian Metro difahamkan, banglo itu turut dilengkapi sistem audio yang dikendalikan seorang DJ yang dipercayai kenalan kepada penganjur pesta berusia 30-an bagi menghiburkan pengunjung mulai jam 10 malam.

Menurut sumber itu, beberapa peserta yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, namun gagal kerana banglo terbabit dikepung.

“Polis merampas dadah jenis syabu dan ganja dipercayai digunakan peserta,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke balai polis berdekatan untuk menjalani ujian air kencing dan hasilnya 15 suspek didapati positif dadah. Seramai 19 suspek termasuk tujuh wanita ditahan kerana memiliki dadah manakala selebihnya dibebaskan tanpa syarat.


DITAHAN...sebahagian remaja lelaki yang ditahan, kelmarin.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Md Azmi Othman yang dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Difahamkan, turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang wanita yang sudah bertunang didapati memiliki dadah, manakala tunangnya dibebaskan tanpa syarat.

Kebanyakan pelajar yang menyertai parti berkenaan berasal dari Johor, Kuala Lumpur, Perlis serta Terengganu dan mereka terdiri daripada pelajar IPT, mekanik, penganggur dan jurujual.

Difahamkan, ketika siasatan awal, peserta parti itu cuba menyembunyikan identiti penganjur yang didakwa berada di Ipoh, Perak.

Malah, serbuan dianggotai empat pegawai dan 14 anggota JSJN IPK negeri itu dilakukan selepas mendapat maklumat risikan sejak awal Jun lalu dan penganjur didapati menggunakan facebook untuk menjemput peserta.

Tinjauan Harian Metro di banglo terbabit mendapati ia dipenuhi botol minuman keras selain penemuan kondom di luar pekarangan banglo itu.

1 comment: