Friday, September 16, 2011

PM HADIR KONVENSYEN BN SELANGOR ESOK


PM HADIR KONVENSYEN BN SELANGOR ESOK !!




SHAH ALAM 15 Sept. - Barisan Nasional (BN) Selangor akan mengadakan konvensyennya pada Sabtu ini ke arah memperkasakan kekuatan jenteranya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, sekali gus dapat kembali berkuasa di negeri ini.

Konvensyen tertutup yang akan berlangsung di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi BN.
Pengerusi konvensyen, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, kira-kira 3,000 orang termasuk 2,114 peserta jemputan, urus setia dan pemerhati akan menghadiri konvensyen bertemakan Sayangi Selangor, Yakini BN.

Beliau berkata, peserta jemputan antaranya terdiri daripada ahli jawatankuasa UMNO negeri, perwakilan setiap bahagian, jawatankuasa sayap BN negeri, urus setia pilihan raya, veteran BN, Ahli Parlimen, wakil rakyat BN, parti komponen dan lain-lain.

"Kita berharap konvensyen kali ini akan turut memberikan suntikan, semangat baru dan kekuatan kepada pemimpin dan ahli akar umbi agar mereka boleh bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum konvensyen tertutup bermula kira-kira pukul 11.30 pagi, Perdana Menteri akan menyempurnakan pelancaran Klinik Bergerak 1Malaysia dan seterusnya menyampaikan ucaptama konvensyen tersebut.

Katanya, sejurus konvensyen itu berakhir iaitu kira-kira pukul 4 petang, Najib akan bergegas pula ke Majlis Aidilfitri Bersama Perdana Menteri di i-City di Seksyen 7 di sini bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Kita menjemput orang ramai untuk sama-sama menghadiri majlis Aidilfitri ini yang akan dimeriahkan dengan persembahan artis terkemuka. Pelbagai juadah enak disediakan untuk 50,000 hadirin," katanya.


UTUSANMALAYSIA
Ir Mohd. Zin Mohamed (tiga dari kiri) bersama Yap Pian Hon (dua dari kanan) menunjukkan kad jemputan Konvensyen BN Selangor yang akan diadakan Sabtu ini pada sidang akhbar di bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, semalam.

No comments:

Post a Comment