Monday, September 12, 2011

Mufti Johor, Zaman Darurat dan Amalan Bacaan Surah Yaasin...


Mufti Johor, Zaman Darurat dan Amalan Bacaan Surah Yaasin...

ALOR SETAR 10 Sept. (Utusan Malaysia) - Isu mengangkat komunis sebagai hero turut mengguris hati Mufti Johor sekarang yang menyimpan cerita tersendiri tentang kekejaman komunis di kampungnya sehinggakan ayahnya menamakan beliau 'Tahrir' yang bermaksud 'pembebasan'.

Datuk Mohamad Tahrir Shamsudin berkata, ayahnya iaitu seorang ulama yang dikenali sebagai Kiyai Haji Shamsudin Haji Redzuan berharap beliau akan terlibat dalam usaha membebaskan negara daripada ancaman komunis.

Kampungnya iaitu Kampung Kundang Hulu di Muar adalah bersebelahan dengan Bukit Kepong yang dipisahkan oleh Sungai Muar dan keadaan ketika itu tegang manakala penduduk ketakutan akibat diancam dan dibunuh oleh komunis.

Mohd. Tahrir, 62, berkata, ketika itu penduduk termasuk ayahnya mempunyai sebilah parang yang tertulis kalimah Lailahaillallah untuk digunakan jika berlaku kecemasan ketika mempertahankan diri, keluarga dan penduduk.

"Parang panjang itu masih ada sampai sekarang.  


"Apabila saya dilahirkan pada 25 Mei 1949, harapan orang tua adalah mahu saya suatu hari kelak membebaskan negara daripada ancaman komunis dan sebab itu beliau menamakan saya Tahrir," katanya kepada Mingguan Malaysia, hari ini.

Tahrir berkata, ayahnya memberitahu, ketika itu penduduk tidak mempunyai senjata api untuk mempertahankan diri melainkan parang sahaja jika terdapat ancaman komunis terutama pada waktu malam.

Justeru, menurutnya, penduduk mengadakan bacaan Surah Yasin setiap malam Jumaat di masjid atau surau manakala ayahnya mengarahkan lebih kurang 200 pelajar Madrasah Shamsudiniah membaca surah tersebut setiap malam selepas Isyak bagi mendoakan keselamatan daripada ancaman komunis.

"Alhamdulillah berkat bacaan surah Yasin, doa umat Islam dimakbulkan. Ini bukan sahaja di Muar tetapi juga difahamkan diamalkan di seluruh negara dan hingga ke hari ini amalan membaca Yasin diteruskan di mana-mana tempat," katanya sambil meminta agar umat Islam jangan terpengaruh dengan pendapat yang membidaahkan amalan membaca surau Yasin.

Walaupun tragedi Bukit Kepong berlaku pada 23 Februari 1950, namun kawasan Muar dan sekitarnya hanya diisytiharkan sebagai kawasan putih pada 1961.

Dalam tempoh tersebut, beberapa kejadian berlaku antaranya penduduk yang mencari burung di hutan dibunuh oleh pengganas komunis.

"Ancaman pengganas komunis terlalu menakutkan hingga ketika saya berumur antara enam atau tujuh tahun saya bermimpi seorang anggota komunis wanita datang ke rumah untuk meminta makanan.

"Tetapi, saya sebagai anak lelaki dalam mimpi itu cuba mempertahankan keluarga, tetapi apa yang pelik mimpi itu masih segar dalam ingatan hingga ke hari ini," jelasnya.

Justeru, beliau mengingatkan umat Islam di negara ini supaya bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikurniakan Allah serta perlu terus berdoa dan berusaha akan dikekalkan nikmat tersebut.

"Sebab itu dalam bacaan doa tahlil biasanya (di Johor) akan disebut kita memohon negara Malaysia secara amnya dan kampung kita khususnya agar diselamatkan daripada sebarang ancaman bahaya dan ini telah dilakukan sejak zaman dahulu, termasuk sewaktu diancam pengganas komunis," katanya.

No comments:

Post a Comment