Wednesday, September 7, 2011

Razali - Anwar wajar didakwa kerana menghina mahkamah


Helah ketua pembangkang terus kelirukan rakyat



KUALA LUMPUR: Peguam Negara diminta mengambil tindakan undang-udang terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menghina mahkamah ketika memberi keterangan membela diri kes liwatnya bagi mengelakkan masyarakat dikelirukan dengan helah ketua pembangkang itu.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim, berkata dakwaan Anwar antara lain, kononnya mahkamah dipengaruhi pihak tertentu satu perbuatan menghina mahkamah sekali gus boleh menjejaskan kewibawaan institusi kehakiman pada mata masyarakat.

Katanya, tindakan Anwar memilih membela diri dari kandang tertuduh dengan tidak bersumpah tanpa boleh disoal balas pihak pendakwa raya juga menunjukkan dia tidak serius untuk membela diri dan menegakkan kebenaran dalam kes liwat dihadapinya, selain dilihat menggunakan mahkamah sebagai pentas meraih sokongan politik.

“Peguam Negara perlu mengambil tindakan tegas bagi memberi satu pengajaran untuk memastikan perkara seumpama ini tidak berlarutan. Apabila sistem dipersendakan, maka ia tak dihormati, dan kalau perkara ini berlarutan ia dapat memberi kesan (negatif) kepada institusi kehakiman dan boleh mengelirukan rakyat.

“Akhirnya, rakyat tidak tahu atau terkeliru mana betul atau tidak. Saya sokong kenyataan peguam, Datuk (Seri) Muhammad Shafee (Abdullah) yang mana kita boleh mulakan tindakan undang-undang baru yang tidak membabitkan kes liwat dia.

“Tindakan baru itu perlu dilaksanakan secara berasingan kerana kesalahan itu boleh menyebabkan dia diheret ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini semalam.

Kenyataan Razali yang juga Ahli Parlimen Muar itu menyokong saranan Muhammad Shafee supaya tindakan undang-undang dikenakan ke atas Anwar kerana menghina mahkamah ketika membela dirinya dari kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Razali berkata, tindakan Anwar membangkitkan isu kes liwatnya yang sedang dibicarakan di majlis atau ceramah juga adalah subjudis kerana kes itu masih dibicarakan.

Katanya, sistem negara yang berasaskan prinsip keempat Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang akan berkecai, jika tindakan menghina mahkamah seperti dilakukan ketua pembangkang itu tidak ditangani dengan tegas.

Selain itu, katanya, pasport antarabangsa Anwar perlu ditahan di mahkamah bagi mengelakkan ketua pembangkang itu memburukkan imej negara di negara asing.

No comments:

Post a Comment